NAMA saja menetap dan berkerja di Kuala Lumpur. Tapi jika ditanya siapakah menteri kita, mungkin ramai yang tergagap-gagap untuk menjawabnya.
Tidak kiralah sama ada kita benar-benar anak jati Kuala Lumpur atau kelahiran negeri lain tetapi mencari rezeki di Kuala Lumpur, kita sebenarnya perlu mengetahui siapakah ketua pentadbir di Wilayah Persekutuan ini.
Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, ketiga-tiganya di bawah satu wilayah yang dipanggil Wilayah Persekutuan.
Jadi kita kena hafal nama ini, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin. Beliau merupakan Menteri Wilayah Persekutuan ketika ini dan yang ketiga sejak Kementerian Wilayah Persekutuan ditubuhkan pada 2004.
Bagi mereka yang jarang mengikuti perkembangan politik tanah air, pasti menganggap Datuk Seri Zulhasnan Rafique (gambar atas) masih lagi menjadi Menteri Wilayah Persekutuan. Namun hakikatnya, Zulhasnan sudah tidak memegang jawatan itu sejak pelantikan Raja Nong Chik pada April 2009.
Zulhasnan sebenarnya merupakan Menteri Wilayah Persekutuan yang kedua iaitu dari Februari 2006 hingga April 2009 iaitu selama kira-kira tiga tahun.
Raja Nong Chik menteri ketiga dan Zulhasnan menteri kedua, jadi siapa menteri pertama di Kementerian Wilayah Persekutuan? Inilah orangnya, Tan Sri Isa Samad (gambar atas). Isa dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan yang pertama pada Mac 2004 dan berkhidmat selama hampir dua tahun sehingga Februari 2006.
Secara ringkasnya, Kementerian Wilayah Persekutuan telah diwujudkan ketika pembentukan kabinet baru pada 27 Mac 2004 oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Kementerian ini bertanggungjawab terhadap ketiga-tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur (diisytihar pada 1 Februari 1974), Labuan (diisytihar pada 16 April 1984) dan Putrajaya (1 Februari 2001).
Ia bagi memastikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur muncul sebagai bandar raya bertaraf dunia, Wilayah Persekutuan Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang utama manakala Wilayah Persekutuan Labuan sebagai Pusat Kewangan Luar Pesisiran Antarabangsa, Pulau Pelancongan Bebas Cukai Antarabangsa dan Pusat Pendidikan yang terkemuka.
Jadi andai ditanya siapakah Menteri Wilayah Persekutuan, jangan gagap dan teragak-agak untuk menyebut nama Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin. Jika tidak, malu saja kita ini mengaku sebagai orang KL, Putrajaya atau Labuan.